Terkejut Ketulan Didiagnos Kanser

Pada usia 37 tahun, dia sudah diduga dengan kanser payudara apatah lagi waktu itu anak-anak masih kecil. Ketika itu hanya kematian yang terbayang di fikiran Amnah Salleh, 47.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia tidak pernah menyangka akan menjadi salah seorang pesakit kanser yang paling ditakuti wanita di seluruh dunia ini kerana tidak mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser payudara.

“Pada awalnya agak terkejut juga apabila doktor memberitahu saya didiagnos kanser payudara, namun masih di peringkat awal. Semuanya gara-gara saya tergerak hati menjalani pemeriksaan payudara sendiri di rumah dan berasa ada ketulan di sekitarnya.

“Tanpa membuang masa, saya berjumpa doktor dan doktor mengesahkan ada ketulan sebesar 1.5 sentimeter yang perlu dibuang sebelum merebak ke organ lain,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian ‘Wear It Pink Campaign 2015’ sempena Bulan Kesihatan Payudara di Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL) baru-baru ini.

Menurutnya, hanya Tuhan yang tahu perasaannya ketika diberitahu ketulan berkenaan adalah kanser. Namun, dalam masa sama dia bersyukur kerana masih di peringkat awal dan boleh diselamatkan.

“Mungkin disebabkan banyak ‘dimomokkan’ dengan cerita apabila didiagnos kanser pasti mati. Sedikit sebanyak ia mengganggu emosi. Pada awalnya saya seperti murung kerana terpengaruh, namun saya terfikir sampai bila harus negatif sedangkan ajal maut ketentuan Tuhan.

“Bermula saat itu saya bangkit apatah lagi memikirkan anak-anak masih kecil dan perlu dijaga. Saya kuatkan semangat dan Alhamdulillah kini saya bebas daripada kanser payudara,” katanya yang kini menjadi sukarelawan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA).

Mengulas lanjut, juruukur bahan bertauliah itu berkata, wanita perlu lebih berhati-hati dan peka terhadap tubuh terutama bahagian payudara.

“Kita kerap kali tengok muka pada cermin tetapi mengapa tidak membuat pemeriksaan pada payudara. Bukan perlu hari-hari. Cukuplah sebulan sekali.

“Sebagai wanita, lumrah mahu kelihatan dan sentiasa tampil cantik, tapi jangan sampai lupa bahagian yang lebih penting,” katanya.

Sementara itu, Perunding Pakar Bedah Payudara PHKL, Dr Azlina Firzah Abdul Aziz berkata, ramai menyangka jika tiada sejarah dalam keluarga seseorang wanita tidak akan didiagnos kanser payudara.

“Sebenarnya semua wanita berisiko mendapat kanser payudara. Tidak semestinya yang hanya ada sejarah keluarga. Kadang-kadang banyak faktor lain yang meningkatkan lagi risiko misalnya alkohol.

“Kanser payudara boleh dirawat. Pemeriksaan awal amat penting untuk mencegah. Misalnya mereka yang berusia 40 tahun ke atas disarankan membuat pemeriksaan mamogram sekurang-kurangnya setahun sekali,” katanya.

Beliau berkata, persepsi masyarakat bahawa kanser payudara hanya menyerang golongan emas juga harus diperbetulkan kerana hakikatnya wanita muda juga didiagnos kanser payudara.

“Saya pernah rawat pesakit kanser payudara berusia 20 tahun. Apabila diperiksa dan ditanya mengenai sejarah keluarga, dia mengakui terdapat ahli keluarganya yang mempunyai kanser ovari, prostat serta payudara.

“Jika dalam ahli keluarga mempunyai salah satu atau semua kanser di atas, segera jalani pemeriksaan bagi mengelak perkara tidak diingini,” katanya.

Jenis kanser payudara

- Kanser setempat ‘Carcinoma in situ’: Istilah ini merujuk kepada kanser peringkat awal dan masih berada di tempat ia bermula iaitu terhad di saluran atau kelenjar susu payudara.

- Kanser saluran ‘Ductal carcinoma in situ’ (DCIS): Ia adalah jenis kanser payudara yang tidak merebak (noninvasive) dan berada di sekitar saluran susu payudara.

- Kanser lobular (Lobular carcinoma in situ) (LCIS): Keadaan ini bermula di kelenjar susu dan tidak melepasi dindingnya.

- Kanser saluran merebak (Invasive (infiltrating) ductal carcinoma) (IDC): iaitu kanser payudara yang paling biasa. Bermula pada saluran susu, melepasi dinding saluran dan merebak ke tisu payudara lain.

- Kanser lobul merebak (Invasive (infiltrating) lobular carcinoma (ILC)): Kanser ini bermula pada kelenjar susu. Ia boleh merebak ke bahagian tubuh yang lain.

Faktor risiko terbahagi dua:

Tidak boleh dikawal


- Umur: semakin berumur, semakin tinggi kemungkinan mendapatnya. Wanita berumur 50 tahun ke atas mempunyai lapan hingga 10 kali ganda kemungkinan mendapat kanser berbanding yang muda. Wanita mempunyai 100 kali ganda risiko berbanding lelaki.

- Sejarah keluarga: jika keluarga ada sejarah kanser payudara, anda juga berisiko tinggi.

-Sejarah lalu kanser payudara: jika pernah didiagnosis kanser payudara waktu dulu, anda lebih berisiko mendapat kanser payudara sekarang.

- Tempoh haid: lebih awal datang haid yang pertama, anda berisiko mendapatnya ketika semakin berusia.

- Keturunan: lima hingga 10 peratus berkaitan mutasi gen. Gen BRCA1 dan BRCA2 adalah gen utama (80 peratus daripada semua gen).

Boleh dikawal
- Penyusuan: wanita yang menyusukan anak dalam tempoh satu hingga dua tahun akan mengurangkan risiko mendapat kanser payudara.

- Alkohol: wanita mengambil minuman beralkohol.

- Senaman: wanita yang melakukan senaman berterusan dapat mengurangkan risiko kanser payudara. Kajian menunjukkan senaman 30 minit sehari untuk lima hari seminggu adalah mencukupi.
Tag : kesihatan


0 Komentar untuk "Terkejut Ketulan Didiagnos Kanser"

Back To Top