Hampir 3,000 penjawat awam dipotong gaji sehingga 100% bayar PTPTN – Cuepacs

KUALA LUMPUR, 24 Disember:Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mendedahkan hampir 3,000 penjawat awam dikenakan pemotongan gaji antara 30 peratus dan 100 peratus bagi pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Hal itu dimaklumkan Presidennya, Datuk Azih Muda kepada The Rakyat Post berkata, pemotongan gaji maksimum itu membebankan penjawat awam itu sendiri, dan tidak seharusnya dibuat.

“Sepatutnya buatlah pemotongan gaji mengikut kemampuan mereka. Potong seratus sebulan hingga 10 tahun ke, ini tidak dipotong hingga berbaki RM19, macam mana nak makan.

“Tidak hairanlah mengapa isu ini tersebar begitu cepat hingga jadi viral di Internet sebab hampir 3,000 orang mengalami pemotongan gaji sedemikian,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurut Azih, penjawat awam terbabit dengan pemotongan gaji maksimum itu bagaimanapun enggan mendedahkan identiti mereka kerana bimbang dikenakan tindakan tatatertib

Malah, Tinjauan The Rakyat Post di sekitar Putrajaya mendapati, ada penjawat awam yang ditemui mengakui mengalami pemotongan gaji maksimum 100 peratus dan ia memang dinyatakan di dalam penyata gajinya.

Bagaimanapun, beliau yang enggan nama dan identitinya didedahkan turut tidak mahu mengulas lanjut dan memberi maklumat terperinci kerana bimbang dikenakan tindakan tatatertib.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Datuk Lok Yim Pheng turut mengakui pihaknya sudah sedia maklum selepas mendapat aduan berhubung pemotongan gaji maksimum terbabit.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mendedahkan identiti penjawat awam yang terlibat.

“Saya tidak boleh dedahkan nama atau beri nombor telefon mereka sebab mereka sendiri tidak berani hendak memberi kenyataan.

“Kalau saya beri, bahaya buat mereka kerana tindakan tatatertib boleh diambil terhadapnya,” katanya ketika dihubungi.

credit to http://bm.therakyatpost.com/
Tag : semasa


0 Komentar untuk " Hampir 3,000 penjawat awam dipotong gaji sehingga 100% bayar PTPTN – Cuepacs"

Back To Top