UMNO Menggunakan Candu Agama Dan Bangsa Untuk Terus Memerintah Di Malaysia

Perhimpunan Agung UMNO telah menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa negara ini masih lagi dibawah pemimpin yang tandus idealisme dan pegangannya. Walaupun ahli-ahlinya tahu bahawa kepimpinan yang ada ini mempunyai masalah yang besar dalam soal menguruskan negara. Tetapi, mereka seolah-olah redha dan tidak menghiraukan kegagalan pemimpin mereka. Mengapa perkara sedemikian rupa berlaku?

Jawapannya mudah, UMNO menggunakan ‘candu’ agama dan bangsa, menghembuskan virus Amnesia di minda ahli-ahlinya supaya lupa akan kesulitan, krisis dan kegagalan pemimpin UMNO yang telah hampir meragut kehidupan rakyat Malaysia. Candu inilah ubat paling mujarab untuk menjawab segala persoalan kepada setiap masalah negara. Candu inilah yang melemahkan pemikiran ahli UMNO untuk takut melawan ‘pemimpin’ UMNO.

Seorang perwakilan UMNO Kedah menyatakan bahawa Najib Razak merupakan ‘insan terpilih’ daripada Allah S.W.T untuk menggalas tugas Perdana Menteri. Rasionalkah kenyataan ini? Dari segi asasnya memang benar, Allah S.W.T membenarkan perkara tersebut berlaku. Tapi bukan kerana dia ‘seorang’ sahaja mampu jadi Perdana Menter. Ramai lagi pemimpin yang layak selain Najib Razak, cuma tiada dalam UMNO! Kerana UMNO sudah ketandusan pemimpin berkarisma.

Kenyataan seperti ini tidak lain adalah untuk memastikan Najib Razak kekal berkuasa dengan menggunakan elemen agama. Pendekatan ini paling mudah kerana ia akan meniupkan ketakutan ahli UMNO supaya tidak menderhaka kepada pemimpin. Kehendak tuhan pula digunakan oleh pemimpin setelah mereka gagal memberi jawapan yang kukuh untuk mendapat sokongan ahli parti. Mengapa terdesak mengheret ‘tuhan’ untuk mengekalkan kuasa?

Mungkin, pemimpin UMNO lupa, Firaun dan Qarun juga menjadi pemimpin atas kekuasaan dan kehendak Allah S.W.T walaupun sifatnya buruk. Akhirnya, kedua-dua mereka ini dilaknat oleh Allah S.W.T kerana ingkar atas perintah tuhan serta menzalimi rakyat biasa. Itulah balasan Allah kepada pemimpin yang menzalimi rakyat sendiri serta tamak akan harta kekayaan. Jawatan Najib Razak sebagai PM juga mungkin satu musibah kepada negara dan ceritanya mungkin menjadi tatapan pengajaran kepada rakyat! Menolak UMNO/BN

Dr Fathul Bari juga cuba menggunakan hujah agama Najib Razak kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia. Sayangnya dia menggunakan contoh peristiwa Saidina Uthman bin Affan yang secara jelas dinasihatkan oleh Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadis untuk tidak meletak jawatan sekiranya ada desakan. Persoalannya, adakah Najib Razak itu setaraf dengan Saidina Uthman bin Affan yang dijanjikan Allah dan Rasulullah S.A.W syurga? Hujah yang diberikan oleh Dr Fathul Bari ini semestinya tempang dan hanya untuk kepentingan politik UMNO.

Saya juga tidak hairan kalau candu agama dan bangsa ini juga telah meresap masuk kepada pemimpin muda UMNO. Terbukti, candu ini berkesan melahirkan pemimpin muda yang hanya mahu mengekalkan kuasa dan kepentingan parti lebih daripada soal masa depan anak-anak muda. Platform yang sebegitu besar dan penting digunakan untuk mengampu politikus parti dan menanam rasa benci ke atas anak muda yang berbeza ideologi. Bukankah lebih baik masa itu untuk menyampaikan idea dan hasrat anak muda yang sengketa dengan kos pendidikan dan sara hidup yang tinggi?

Mohammad Fakhrurrazi Mohd Rashid ialah pembaca FMT

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT


credit berita : http://www.freemalaysiatoday.com/
Tag : politik


0 Komentar untuk "UMNO Menggunakan Candu Agama Dan Bangsa Untuk Terus Memerintah Di Malaysia"

Back To Top