Boleh Jika Mereka Nak Buka Pawagam Di Kelantan Tetapi Mereka Perlu Ikut Syarat Ini

Sekiranya ada pihak yang ingin membuka pawagam di Kelantan, mereka perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abd Fattah Mahmood berkata isu pawagam bukannya khabar angin malah pernah ada tiga pihak yang datang dan merancang membukanya termasuk di Pasaraya KB Mall, di sini.

Katanya, kerajaan negeri tiada masalah sekiranya mana-mana syarikat ingin membuka pawagam tetapi mereka perlu mengikut Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat Hiburan 1998 yang sudah diputuskan di Dewan Undangan Negeri.

“Dahulunya ada tiga syarikat datang berjumpa dan apabila kita bentangkan dalam perbincangan, mereka beritahu akan datang berbincang semula tetapi sehingga kini mereka tidak datang semula.

“Saya dimaklumkan mereka tidak sanggup sebab mereka mmpunyai perjanjian dengan pengeluar filem,” katanya kepada pemberita di sini.

Abd Fattah berkata mengikut enakmen, tayangan tidak dibenarkan pada waktu Maghrib, tayangan malam Jumaat, tayangan di bulan puasa manakala pengasingan lelaki dan perempuan serta tontonan dengan lampu di bahagian belakang dibuka.

Katanya, mungkin terikat dengan peraturan dan waktu-waktu yang ditetapkan menjadi sebab mereka tidak meneruskan hasrat membuka pawagam di sini.

“Saya ingin tegaskan jika peraturan dipatuhi kita memang tiada masalah. Mungkin mereka sudah membuat kajian daripada sudut perniagaan sama ada mereka boleh beroperasi ataupun tidak.

“Kemungkinan juga mereka terikat dengan pengeluar filem jadi mereka tidak meneruskan hasrat membuka pawagam,” katanya.

Difahamkan, sebelum penutupan pawangam atau lebih dikenali sebagai panggung wayang di Kelantan, kutipan di negeri ini adalah antara yang tertinggi.

Antara pawagam tumpuan di Kota Bharu hampir satu dekad yang lalu termasuklah Lido, Rex dan Odeon.

Selepas kerajaan negeri diambilalih, satu demi satu panggung wayang yang wujud akhirnya ditutup selepas permit yang dimiliki tidak dibenarkan diperbaharui.
Tag : semasa


0 Komentar untuk "Boleh Jika Mereka Nak Buka Pawagam Di Kelantan Tetapi Mereka Perlu Ikut Syarat Ini"

Back To Top