Saya hanya mampu melihat anak saya menggelupur kesakitan

Alor Setar: “Saya hanya mampu melihat anak saya menggelupur kesakitan akibat digigit seekor beruk, malah luka yang dialaminya agak parah sehingga menampakkan bahagian isi pada betis kanannya serta luka kecil di punggung kiri.”

Begitu kata Mashitah Taha, 40, ibu kepada Nur Syahadatul Fatehah Mohd Shahabuddin, 6, yang cedera selepas digigit beruk peliharaan yang dipercayai terlepas berhampiran surau di Kampung Paya Mengkuang, Pendang, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang, mangsa bermain di kawasan kejadian bersama sepupu dan rakannya berhampiran surau tanpa menyedari kehadiran beruk terbabit.

Namun sebaik beruk itu menggigit, mangsa menangis kerana kesakitan dan didengari pemilik kedai runcit berhampiran yang bergegas menghampiri mangsa dan membaling batu ke arah haiwan itu.

Menurut Mashitah, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas seorang penduduk datang ke rumahnya yang terletak 100 meter dari lokasi kejadian untuk memaklumkan anaknya digigit beruk.

Katanya, dia yang sedang memasak untuk juadah berbuka terkejut dengan apa yang berlaku dan bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan anaknya.

“Sebaik sampai di situ, saya hanya mampu mententeramkan anak saya yang menjerit kesakitan akibat parah pada betis kanannya sehingga hampir menampakkan tulang selain berlumuran darah.

“Pemilik kedai itu menghantar anak saya ke rumah sebelum bapa saudara menghantar dia ke Hospital Yan untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, anak saya terpaksa dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berikutan kecederaan dialaminya agak teruk,” katanya ketika ditemui di luar Dewan Bedah HSB, semalam.

Menurutnya, anaknya tidak pernah bermain di situ dan dia dimaklumkan beruk terbabit dipelihara orang kerana terdapat rantai pada leher sebelum haiwan itu melarikan diri.

Mashitah berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu dibawa ke Dewan Bedah HSB pada jam 1.30 tengah hari untuk mencuci bahagian lukanya bagi mengelakkan jangkitan kuman.

Difahamkan, ketika kejadian, bapanya, Mohd Shahabuddin Isa, 42, yang juga pemandu Speaker Kedah Datuk Rozai Shafian tiada di rumah kerana bekerja.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Kedah Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya sudah menghubungi bapa mangsa untuk mendapatkan maklumat dan dimaklumkan beruk itu terlepas.

“Buat masa ini, usaha mengesan beruk itu masih dijalankan kakitangan PERHILITAN Kedah,” katanya.
Tag : semasa


0 Komentar untuk "Saya hanya mampu melihat anak saya menggelupur kesakitan"

Back To Top