Penganut Buddha Geledah, Robohkan Masjid

BAGO, MYANMAR – Ratusan penganut Buddha bukan saja menceroboh masuk ke dalam masjid di tengah Myanmar, malah hampir merobohkannya memaksa penduduk Islam melarikan diri dan berlindung dalam kawasan balai polis selepas berlaku pergaduhan antara jiran yang kemudian menjadi keganasan agama.

Keganasan tercetus petang semalam, selepas kira-kira 200 penduduk beragama Buddha mengganas di kawasan penduduk Islam di perkampungan Thuye Tha Mein di wilayah Bago, berikutan pertelingkahan sesama jiran mengenai pembinaan sekolah Islam.

“Ia bermula apabila seorang lelaki Islam bertekak dengan wanita Buddha menyebabkan ada penduduk masuk campur menyerang lelaki itu.

“Mereka kemudian memasuki masjid dan menggeledahnya menyebabkan sebahagian masjid rosak. Perusuh Buddha turut merosakkan pagar perkuburan,” katanya ketua kampung itu, Hla Tint.

Kira-kira 70 penduduk Islam, termasuk wanita dan kanak-kanak terpaksa bermalam di balas polis.

Menurut Tint, tiada kecederaan serius berlaku dan keadaan kembali tenang hari ini.

Polis dan setiausaha masjid mengesahkan kerosakan itu dan seorang penduduk, Tin Shwe Oo, 29, yang beragama Islam berkata, ada 150 penduduk Islam di kampung ini yang kini hidup dalam ketakutan.

“Kami terpaksa bersembunyi kerana ada yang mengancam mahu membunuh penduduk Islam. Saya dan keluarga mahu tinggal jauh dari sini sehingga keadaan aman,” katanya.

Keganasan agama di Myanmar sejak 2012 menyebabkan ramai penduduk Islam dibunuh penganut Buddha dengan restu sami radikal. –AFP/myMetro Online

Tag : semasa


0 Komentar untuk "Penganut Buddha Geledah, Robohkan Masjid"

Back To Top