Militan Daesh Bertekad Serang Malaysia Dan Menyembelih Anggota Polis Hidup-Hidup

PUTRAJAYA – Video propaganda terbaharu kumpulan pengganas Daesh memaparkan seorang lelaki Malaysia memberi amaran akan serang orang awam termasuk menyembelih anggota polis mula didedahkan kepada umum.

Rakaman itu yang mula viral pada Khamis turut mendapat perhatian Bahagian Counter Terorisme Cawangan Khas Bukit Aman yang berjaya mengenal pasti identiti lelaki tersebut sebagai Mohd. Rafi Udin dari Negeri Sembilan.

Dia muncul bersama-sama dua rakannya dengan tiga tebusan dipercayai anggota perisik tempatan yang ditawan; turut menggesa penyokong Daesh di Malaysia menggunakan apa sahaja cara untuk membunuh setiap orang kafir.

“Bunuh mereka di mana sahaja yang anda jumpa… Jika anda ada kereta, langgarlah mereka… Gunakan senjata dan pisau untuk tikam terus dada mereka,” kata Mohd. Rafi menaikkan semangat menerusi visual video berkenaan.

Dia juga mengeluarkan amaran keras kepada semua anggota polis di seluruh negara bahawa mereka akan diburu dan disembelih hidup-hidup oleh ramai penyokong Daesh yang sudah pun berada di dalam Malaysia.

“Kepada anda yang ada di Bukit Aman, anda tidak lagi aman. Kami bersedia untuk sembelih anda…. Apabila kami datang, rakan-rakan kami di negara ini juga akan memburu anda habis-habisan,” tegas Mohd. Rafi lagi.

Seorang militan Daesh dipercayai warga Filipina dalam video itu turut mencelah: Kami sudah sembelih ramai orang murtad dan esok, saudara kami di negara anda akan sembelih anda pula. Kami guna bahasa pedang dan peluru.

“Kami akan terus berjuang dan memerangi anda, menghancurkan anda dan meletakkan perasaan ketakutan dalam hati anda,” kata pengganas tersebut di samping Mohd. Rafi menerusi rakaman video amaran terkini itu.

Dalam pada itu Ketua Bahagian Counter Terorisme Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata: “Serangan disasarkan mungkin disahut oleh pelbagai kumpulan penyokong pengganas Daesh di luar Syria.”

Beliau merujuk Khatibah Nusantara (cawangan Daesh di rantau Asia tenggara) yang meletakkan Malaysia sebagai negara ‘Toghut’ atau berdosa besar kepada ajaran Allah yang perlu segera diperangi oleh mereka sendiri.

“Kami sedang bersiap siaga dengan segala potensi serangan sejak enam bulan lalu berdasarkan hasil risikan ke atas Khatibah Nusantara di Filipina dan pusat pemerintahan Daesh,” jelas Ayob kepada sebuah akhbar tempatan.

Difahamkan, Mohd. Rafi dikenal pasti antara anggota pengganas Kumpulan Mujahiddin Malaysia (KMM), yang meninggalkan Malaysia pergi ke Syria pada 2014 lalu untuk menyertai Daesh dengan memakai nama Abu Ain.

Dia pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kemudian dimansuhkan kerana disyaki mahu melancarkan aktiviti pengganas bersama-sama dengan beberapa anggota KMM suatu ketika dahulu.

Mohd. Rafi dilaporkan hanya mampu berjalan sebelah kaki sahaja selepas mengalami kecederaan dalam satu serangan hendap oleh pasukan tentera kerajaan rejim Syria pimpinan Bashar al-Assad di negara itu dua tahun lalu.

Pihak Bukit Aman ujar Ayob, masih meletakkan ancaman pada tahap tinggi susulan kejayaan menumpaskan dua bakal penyerang solo yang menerima arahan daripada pimpinan Daesh di Malaysia untuk melancarkan serangan.

Suspek seorang pelajar berusia 16 tahun ditahan di Sungai Petani, Kedah baru-baru ini ketika membawa sebilah pisau dan pistol mainan untuk membunuh seorang pembantu jualan wanita kaum Cina yang dianggap kafir.

Turut diberkas ialah seorang suspek memiliki dua bilah pisau Rambo di stesen LRT Jelatek di ibu negara dan Ayob berkata, anggota Daesh kini lebih gemar menggunakan pisau kerana ia sukar dikesan berbanding senjata api.

“Setakat ini bahagian ini sudah berjaya menggagalkan sembilan rancangan serangan Daesh dengan tiga daripadanya berada pada tahap dua iaitu sudah bersedia melancarkan serangan skala besar.” – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Tag : semasa


0 Komentar untuk "Militan Daesh Bertekad Serang Malaysia Dan Menyembelih Anggota Polis Hidup-Hidup"

Back To Top