Gadis Berusia 14 Tahun Dirogol Dan Diperlakukan Seperti Binatang

KUALA TERENGGANU - Tindakan berani seorang remaja perempuan berjumpa dengan kenalan lelaki yang hanya dikenali melalui telefon berakhir detik hitam apabila dia dirogol, dalam kejadian Ahad lalu.

Bagaimanapun, mangsa berusia 14 tahun itu bernasib baik apabila diselamatkan seorang lelaki yang menjumpainya ketika dia ditinggalkan di tepi jalan di Merchang, Marang oleh suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, lebih kurang jam 6.30 petang di Kampung Gong Tok Nasek, mangsa didatangi seorang lelaki yang hanya dikenali melalui telefon dan gadis itu bersetuju mengikut lelaki terbabit.

“Lelaki berkenaan membawa mangsa ke sebuah rumah dan telah menyerahkan mangsa kepada seorang lagi lelaki tidak dikenali yang sedia menunggu di rumah itu.

“Lelaki kedua itu setuju untuk menghantar mangsa pulang, namun dia hanya meninggalkan mangsa di tepi jalan dan mangsa mendakwa tidak mengetahui lokasi tersebut,” katanya.

Wan Abd Aziz berkata, dalam keadaan terpinga-pinga, mangsa terserempak dengan seorang lagi lelaki tidak dikenali, sebelum dibawa ke sebuah rumah di Merchang, Marang dan ditinggalkan di dalam rumah tersebut bersendirian.

“Beberapa minit kemudian, datang tiga lagi lelaki tidak dikenali dan dipercayai salah seorang daripada mereka merupakan tuan rumah,” katanya.

Jelasnya, mangsa yang ditinggalkan di dalam salah sebuah bilik di rumah itu kemudian dihampiri salah seorang daripada mereka, sebelum memaksa mangsa melakukan hubungan seks.

“Namun, mangsa cuba melawan, menyebabkan suspek bertindak lebih kasar dengan mengambil sebilah pisau dan mengacukan ke lehernya sebelum merogol mangsa.

“Selepas dirogol, mangsa dibawa keluar dari rumah itu oleh suspek dan ditinggalkan di tepi jalan di lokasi yang agak sunyi,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa bernasib baik apabila terserempak dengan seorang lelaki ketika sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumahnya.

“Lelaki itu membawa mangsa pulang ke rumahnya terlebih dahulu untuk diberi makan kerana keadaannya yang begitu letih dan tidak bermaya.

“Beberapa jam kemudian, barulah mangsa dihantar pulang oleh bapa saudara lelaki tersebut,” katanya.

Di rumah, selepas menceritakan kejadian itu kepada keluarganya, mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), untuk rawatan.

Keputusan perubatan mengesahkan mangsa dirogol dan suspek masih diburu untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol - Sinar Harian
Tag : semasa


0 Komentar untuk "Gadis Berusia 14 Tahun Dirogol Dan Diperlakukan Seperti Binatang"

Back To Top