Sultan Johor Beri Amaran Kepada Perosak Bangsa Jangan Datang Ke Negeri Johor

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah kepada bangsa Johor untuk bersikap mesra, bertolak-ansur, saling menghormati dalam pergaulan masyarakat yang berbeza keturunan dan agama demi membentuk suasana hidup yang muhibah serta harmoni.

“Suka saya ingatkan kepada kaum India di negeri ini, supaya jangan berpecah-belah disebabkan parti politik yang berbeza ataupun kerana kepentingan peribadi individu tertentu.”

“Kepada sesiapa yang berniat memecah-belahkan rakyat saya, saya nasihatkan supaya jangan datang ke negeri johor, kerana tidak ada tempat untuk perosak bangsa seperti ini untuk tinggal di sini.”

 “Tidak ada negara yang boleh maju bila rakyatnya berpecah-belah. Rakyat mesti berfikir dan memilih kemana arah yang hendak dituju” titah baginda di Majlis Santapan Malam sempena sambutan perayaan Hari Deepavali di Perkarangan Dataran Tasik Kluang.

Baginda juga berharap majlis sambutan seperti ini dapat dianjurkan untuk hari perayaan yang lain seperti Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina, Krismas dan sebagainya.

Sultan Ibrahim juga menjelaskan bahawa isu umat Islam meraikan perayaan agama lain sepatutnya tidak timbul untuk diperdebatkan.

“Isu umat Islam meraikan perayaan agama lain seharusnya tidak timbul kerana kita bukan mengikuti amalan atau ajaran agama tersebut tetapi kita hanya meraikan sebagai tanda hormat kepada rakan-rakan dan jiran tetangga kita” titah Sultan Johor.

Selain itu, baginda meminta semua rakyat di negeri ini supaya hidup dengan aman dan bersatu hati untuk mengekalkan keharmonian dan kemakmuran negeri Johor.
Tag : semasa


0 Komentar untuk "Sultan Johor Beri Amaran Kepada Perosak Bangsa Jangan Datang Ke Negeri Johor"

Back To Top