Ia ekoran tulisan pengguna Facebook yang dikenali Khairana Rahman mendakwa menerima layanan buruk ketika ingin bersalin dan memuatnaik empat keping gambar antaranya didakwa memaparkan beberapa orang wanita tidur di atas lantai wad itu, menjadi viral.
Pengguna Facebook itu yang berkongsi pengalamannya bersama wanita lain yang akan bersalin di hospital tersebut pada September lalu dan turut memuatnaik gambar yang diambilnya itu semalam.
Dihubungi Malaysiakini petang ini, Pengarah hospital Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan itu termasuk yang melibatkan beberapa kakitangan di wad itu yang didakwa bercakap kasar dan beliau berikrar akan membuat penambahbaikan.
"Kadang-kadang terlalu ramai (orang yang nak bersalin). Ia bermusim. Mengenai gambar tidur atas lantai itu tak betul kerana kami sediakan katil-katil yang rendah untuk menampung kerusi yang kami sediakan. Saya tak pasti gambar itu gambar bila dan akan buat siasatan.
"Mengenai cara soft skill kakitangan kami, kami sentiasa mengingatkan mereka dari segi soft skill. Mungkin ini isu terpencil dan akan buat siasatan dengan ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G).
"Kalau ada kakitangan kami yang tak laksanakan etika kerja dengan betul, kita akan ambil tindakan dan penambahbaikan," katanya.
Mengulas lanjut Khalid juga menjelaskan bahawa di hospital itu mempunyai lima wad bersalin dan pihaknya juga telah membuka wad kelas satu untuk ditukar menjadi wad untuk menempatkan ibu selepas bersalin.
"Jadi saya tak pasti (tentang tulisan di Facebook) sebab kami menyediakan katil mencukupi di dewan bersalin kami bila penuh.
"Kalau belum sakit, mereka menunggu di kerusi dan kalau dekat dengan rumah, kita nasihatkan balik rumah dan bila benar-benar nak bersalin datang ke hospital," katanya.
Khalid berkata kadar kelahiran di hospital tersebut agak tinggi dengan kira-kira 50 orang satu hari dan seramai lapan hingga sepuluh kes yang memerlukan pembedahan untuk melahirkan bayi manakala 40 orang lagi bersalin secara normal.
"Ini bermakna, setahun kira-kira 13,000 orang. Kadang-kadang wad selepas bersalin dan wad sebelum bersalin agak penuh, ini disebabkan kelahiran yang ramai.
"Kalau wad penuh kita akan maklumkan penuh dan kalau masih nak bersalin di sini kami akan beri surat akujanji pada mereka. Kalau sanggup tunggu untuk dapat katil biasanya dalam 48 jam," katanya.
Sehubungan itu, Khalid juga menasihatkan kepada orang ramai terus memaklumkan kepada pihak pengurusan jika tidak berpuas hati dengan perkhidmatan layanan di hospital itu daripada "berbincang" di media sosial.
Ini kerana, katanya, dibimbangi perkara tersebut akan mengundang perspektif negatif masyarakat terhadap perkhidmatan kerajaan.
"Saya rasa amat terkilan dengan posting itu kerana ternyata ada pihak juga yang memuji bilik bersalin kami. Bagaimanapun saya akan buat penambahbaikan kalau ada ruang yang tak baik.
"Kami juga akan hubungi pihak perhubungan pelanggan kami untuk dapatkan kepastian daripada gambar-gambar yang diviral itu. Penambahbaikan kita dah mulakan dari bulan Oktober 2014 selepas kita lihat trend pesakit nak bersalin semakin ramai," katanya.
Tag :
semasa
0 Komentar untuk "Wad Bersalin Hospital Sungai Buloh Macam Pelarian? Berikut Jawapan Daripada Pihak Hospital Sg Buloh"