Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) hari membangkitkan persoalan adakah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor merupakan penaung kepada Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (Pemangkin), sebuah yayasan kebajikan untuk anak yatim.
Pengarahnya, Akmal Nasir membuat semakan latar belakang Pemangkin dan menemui satu laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 27 April, 2009 bertajuk “Bantu Anak Miskin, Yatim” yang melaporkan mengenai majlis pelancaran yayasan itu.
"Berdasarkan laporan tersebut, Rosmah dilantik sebagai penaung kepada Pemangkin. Majlis pelancaran tersebut dihadiri sendiri Datuk Seri Jamil Khir Baharom," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pada majlis itu, sumbangan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) berjumlah paling tinggi sebanyak RM4 juta, dengan jumlah dana yang terkumpul ketika itu sebanyak RM5 juta.
"Sumbangan terus daripada orang ramai juga dikutip melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang turut dilancarkan yang diberi nama Skim Sumbangan Amal Jariah untuk Pembangunan Anak-anak Yatim dan Miskin.
Justeru, Akmal menggesa Jamil menjawab beberapa persoalan.
"Apakah rasional Rosmah dilantik sebagai penaung kepada badan yayasan yang menguruskan amal jariah anak yatim dan miskin?
"Adakah benar penubuhan Pemangkin adalah sebagai usaha menangani masalah anak yatim dan miskin?" soalnya.
Beliau turut membandingkan kewajaran Pemangkin terlibat dengan penganjuran Kursus Perkahwinan dan Kekeluargaan di luar negara seperti mana yang didedahkan beliau sebelum ini.
"Berapa ramai anak yatim dan miskin yang dapat dibantu Pemangkin sekiranya wang Yapeim tidak dibazirkan untuk perbelanjaan program luar negara dan sebaliknya digunakan untuk tujuan amal jariah anak yatim dan miskin" soal Akmal.
Katanya, berdasarkan fakta yang dikemukakan, jelas menunjukkan sumbangan atau wang yang diterima atau disalurkan kepada Pemangkin termasuk duit orang ramai dan dana daripada Yapeim adalah untuk dibelanjakan bagi kegunaan amal jariah, bantuan anak yatim dan miskin
credit: http://www.themalaysianinsider.com
Tag :
politik
0 Komentar untuk "Pendedahan Terbaru Skandal Yapeim, Rupanya Rosmah Mansor Penaung Kepada Pemangkin"