Demam Campak : Inilah Perkara Penting Yang Ibu Bapa Patut Tahu

Pada tahun 1980 sebelum vaksin campak diperkenalkan secara menyeluruh, dianggarkan sebanyak 2.6 juta kematian akibat campak setiap tahun. Walau bagaimanapun, jangkitan campak menurun dengan adanya vaksin. Keberkesanan vaksin terhadap penularan campak telah menyebabkan penurunan sebanyak 78% sejak 10 tahun lepas.

Dewasa ini, berlaku peningkatan semula kes-kes campak disebabkan pelbagai faktor yang telah diulas oleh banyak pihak sebelum ini. Pada 5 November 2015 yang lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan akhbar bahawa terdapat peningkatan kes measles (campak) di Malaysia sebanyak 3 kali ganda berbanding tahun lepas. Hal ini amat membimbangkan ibu bapa dan masyarakat amnya.

Saya terpanggil untuk mengulas berkenaan penularan dan jangkitan penyakit campak dari segi cara badan dan sistem pertahanan memainkan peranan.

    Campak merupakan sejenis jangkitan yang disebabkan oleh kuman atau virus. Virus memerlukan perumah untuk hidup dan perumah bagi virus measles adalah manusia. Virus ini tersebar melalui udara lalu menjangkiti salur pernafasan dan seterusnya merebak ke seluruh badan.

Secara umumnya sistem pertahanan badan manusia terdiri daripada pelbagai jenis sel atau anggota. Setiap anggota dalam sistem pertahanan badan manusia mempunyai fungsi yang khusus. Pada peringkat awal jangkitan, benteng pertahanan awal akan cuba melawan virus ini.

Antara contoh benteng pertahanan awal ialah sel makrofaj dan sel dendritik. Kebiasaannya, benteng pertahanan awal ini akan dapat melawan virus tersebut. Walau bagaimanapun, sekiranya berlaku serangan kali kedua, benteng awal ini tidak akan dapat bertahan.

Serangan virus kali kedua ini akan mengakibatkan virus menumpang anggota pertahanan tersebut untuk masuk ke peringkat seterusnya dalam badan manusia. Virus ini boleh menggunakan anggota pertahanan badan peringkat kedua pula untuk membiak dan membahagi.

Di dalam badan terdapat anggota pertahanan yang menyimpan memori terhadap sebarang jangkitan yang berlaku. Anggota ini dinamakan Sel T dan Sel B. Kedua-dua anggota ini merupakan benteng pertahanan paling kukuh dalam badan manusia.

Disebabkan virus campak ini terlalu kuat, ia boleh menjangkiti serta memusnahkan kedua-dua sel tersebut. Virus ini seterusnya merebak ke seluruh badan serta mengambil alih (hijack) sistem pertahanan badan.

Apabila sistem pertahanan badan telah ditawan, kuman ini menjangkiti dan memusnahkan organ-organ utama dalam badan seperti ginjal, paru-paru, hati serta usus. Lebih teruk lagi, virus ini boleh menjangkiti otak dan seterusnya menyebabkan kematian.

Di dalam satu kajian terbaru berkenaan campak, para penyelidik mendapati bahawa individu yang telah sembuh daripada jangkitan campak boleh mengalami kecacatan pada sistem pertahanan badan untuk tempoh yang agak lama.

Ini bermakna, setelah sembuh daripada jangkitan campak, badan individu terbabit masih lemah dan sangat mudah terkena jangkitan penyakit-penyakit lain yang kebiasaannya mudah sembuh jika berjangkit kepada individu normal.

Kesimpulannya, sistem pertahanan badan perlu disiap-siagakan bagi menghadapi serangan virus yang merbahaya seperti campak. Cara menguatkan sistem pertahanan badan ialah melalui pemberian vaksin melalui imunisasi.

Mekanisma dan cara vaksin melatih anggota pertahanan badan akan dijelaskan dalam siri yang lain. Justeru, saya menyeru para ibu bapa agar memastikan anak-anak mendapat suntikan vaksin measles bagi mengelakkan virus yang merbahaya ini mengganggu kehidupan kita.

Catatan :// Dr. Maryam Azlan. Penulis merupakan pensyarah Imunologi (sistem pertahanan badan) di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia.

Rujukan:

1) World Health Organization (WHO) Fact Sheet, 2015.
2) Mina, M. J. et al., 2015. Science.
3) Foto kredit -njfamily.com


credit to :http://www.majalahsains.com
Tag : kesihatan


0 Komentar untuk "Demam Campak : Inilah Perkara Penting Yang Ibu Bapa Patut Tahu"

Back To Top