PETALING JAYA: Pengarah Azma Aizal Yusoof berkata ada sebab dia bertindak memukul pelakon Ika Nabella di lokasi penggambaran drama Dawai Asmara di Hulu Klang pada Isnin lalu.
Azma, 33, bagaimanapun enggan berkongsi hal berkenaan namun menyifatkan laporan media yang dikeluarkan mengenai perbuatannya itu sudah ditokok tambah.
“Ada sebab saya berbuat demikian. Saya pun baru sahaja memberi keterangan kepada pihak polis dan siasatan kini sedang dijalankan. Apabila kes selesai, saya akan menceritakan hal sebenar apa yang berlaku.
“Bagaimanapun, cerita yang sudah menjadi viral di laman sosial itu sudah ditokok tambah,” katanya yang dihubungi mStar Online pada Rabu.
Azma diminta mengulas mengenai tindakannya yang memukul Ika Nabella, 26, di set penggambaran drama terbitan Suhan Movies itu pada petang Isnin lalu.
Terdahulu, Ika mendakwa dipukul dan ditumbuk pada bahagian muka dan beberapa bahagian badan oleh pengarah lelaki itu.
Berikutan kejadian tersebut, Ika membuat laporan di Balai Polis Hulu Klang, dekat sini pada malam hari kejadian.
Sementara itu, Azma berkata, dia tidak gentar untuk berdepan dengan isu tersebut kerana percaya Tuhan akan menyebelahinya.
“Saya akan berdepan sahaja isu ini dalam apa-apa situasi pun. Allah sentiasa di sisi.
“Dalam pada itu, saya juga bersyukur kerana diberi ketenangan dalam menangani masalah ini. Biarlah pihak sana ‘berkicau’,” ujarnya.
Azma Aizal Yusoof sebelum ini pernah mengarahkan beberapa siri drama popular seperti Kerana Terpaksa Aku Relakan dan Teman Lelaki Upahan di slot Akasia , TV3.
Pada April lalu Azma memenangi pengarah terbaik menerusi telefilem arahannya iaitu Menunggu Hujan Teduh pada majlis kemuncak Anugerah Tribute P Ramlee 2014.
Sebelum ini Azma pernah berkongsi kehidupan hitamnya iaitu terjebak dengan najis dadah dan mendapat pemulihan di pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen).
-mStar
Tag :
hiburan
0 Komentar untuk "ada sebab saya pukul ika nabella dimuka..saya tak takut langsung dia report polis"