MASALAH rumah tangga selalu menjadikan pasangan suami isteri berada di dalam keadaan serba salah. Menjadi amalan di bandar, kalau bergaduh dengan suami atau isteri, salah seorang akan keluar rumah.
Tidak seperti di kampung, isteri biasanya akan makan hati tinggal di rumah sedangkan suami bebas pergi ke mana dia suka untuk meredakan kerunsingan.
Bagaimanapun melarikan diri dari masalah tidak dapat menyelesiakan masalah tetapi keadaan akan menjadi lebih sulit dan jika silap perhitungan akan membawa kepada runtuhnya masjid yang dibina.
Begitu mukadimah kisah yang saya pilih minggu ini, luahan pe-rasaan seorang isteri dengan sikap suami yang suka melepak di gerai milik seorang janda di kampung tempat tinggal mereka.
Ini bukan dalam drama, tapi kisah benar. Ingin tahu kisah seterusnya, jom kita ikuti pengakuan Sara (bukan nama sebenar) seperti diceritakan kepada saya.
“Saya berusia awal 40-an, mempunyai tiga orang anak berusia daripada sembilan hingga 17 tahun. Suami saya, Azran (bukan nama sebenar) bekerja sendiri dan saya mengambil upah menjahit dan membuat kuih.
“Biasalah hidup di kampung, semuanya perlu usaha jika tidak mana datangnya duit untuk beli makanan dan pakaian anak-anak serta keperluan dapur.
“Saya tidak pernah merungut kepada suami tentang rumah tangga sebab upah jahit yang saya dapat setiap bulan boleh menampung hidup kami.
“Suami pula ada banyak tanah hasil peninggalan arwah orang tuanya. Pendek kata kalau tiga keturunan kami makan tak habis, tapi jika diusahakan dan dijaga dengan baik.
“Malangnya suami saya seorang yang suka ambil mudah tentang semua perkara. Dia tidak mahu bekerja keras untuk kehidupan kami anak beranak. Apa yang ada itulah yang digunakan.
“Jika dia usaha lebih, pasti kehidupan kami akan lebih mewah, bahagia dan senang lenang. Dulu, suami rajin ke ladang atau ke kebun miliknya. Sekarang dia menjadi malas. Kerja di kebun dan ladang lebih banyak diserahkan kepada pembantunya.
“Bagaimanapun, setiap hari dia keluar rumah seperti biasa. Kononnya hendak ke kebun supaya dapat hasil yang banyak.
Saya percaya bulat-bulat kerana menyangka suami memang betul-betul mahu bekerja keras dan mengubah nasib kami.
“Sayangnya sangkaan saya meleset. Suami rupanya sedang gila bayang dengan seorang janda yang membuka gerai makan di pinggir kampung kami.
“Padanlah sejak akhir-akhir ini dia sudah pandai bergaya dan selalu nampak kemas apabila hendak keluar rumah.
Sebelum ini, capai apa yang ada tidak kisah pun jika seluar dan baju-T tidak sahaja, walau tidak bersalin pakaian selama seminggu.
“Orang kampung mula bercerita tentang suami saya. Bagaimana dia melayan janda pemilik gerai itu setiap hari. Habis
berniaga mereka pergi bersiar-siar di pekan. Ramai yang sudah bertembung dengan mereka termasuk saudara mara saya.
“Sebagai isteri saya tidak mahu terburu-buru mempercayai gosip orang kampung tentang suami. Saya mahu bukti dan akan terus mencarinya sehingga saya betul-betul puas hati dan akan membuat keputusan.
“Akhirnya, saya lihat dengan mata sendiri bagaimana ‘gatalnya’’ suami apabila bersama janda tersebut. Saya bertambah geram apabila mendapat tahu setiap hari dia keluar awal hanya semata-mata untuk menjemput janda itu dari rumahnya ke gerai.
“Baiknya hati dia..., saya yang tunggang langgang di rumah buat kerja harian tidak dipedulinya, janda itu pula yang mendapat layanan istimewa. Mengingatkan perkara itu hati saya menjadi panas, geram pun ada.
“Kebun entah ke mana, ladang entah ke mana. Di rumah tentu tidak melekat langsung. Solat juga macam hidup segan mati tak mahu, tidak seperti selalu, sentiasa ada di surau.
“Sudahnya hubungan dengan kami menjadi renggang. Suami keluar masuk rumah macam hotel. Masanya banyak dihabiskan dengan janda itu. Saya tanya dia mengamuk. Kalau silap hari bulan, saya dimaki hamun dan dipukul.
“Tambah sakit hati apabila saya mendapat tahu dia ada hati hendak berkahwin dengan janda itu.
“Sebenarnya bukan sahaja suami saya yang suka melepak di gerainya, kebanyakan lelaki yang sudah berkahwin di kampung kami menjadikan gerai janda itu sebagai tempat persinggahan.
“Bukan main manja lagi si janda itu dengan pelanggannya termasuk suami saya. Siap berpakaian seksi lagi. Naik meluat
pula melihat gelagatnya. Itu agaknya strategi yang dia gunakan untuk menawan hati suami-suami di kampung kami.
“Saya telah bersemuka dengan janda itu bersama wakil persatuan wanita kampung kami. Tujuan kami baik, supaya dia menjaga tingkah lakunya dan tidak memporak-perandakan keadaan.
“Kami bercakap dengan cara baik, lembut dan berlapik walaupun kami tahu tidak sepatutnya melayan dia begitu jika dilihat perangainya. Nak tahu apa jawapannya? Dengan ego dan angkuh, dia berkata dia tidak menjemput lelaki di kampung kami datang ke gerainya. Mereka semua datang dengan rela hati.
“Jadi, tiada sebab kami sebagai isteri-isteri patut bimbangkan kesetiaan suami masing-masing. Katanya, dia tidak ada niat nak merampas suami siapa-siapa pun. Malah dia siap bagi amaran lagi kepada kami supaya menjaga suami masing-masing dan jangan biarkan suami kami terus melepak di gerainya.
“Cuba anda bayangkan bagaimana perasaan anda jika berada di kedudukan kami? Bohong kalau anda kata tidak marah sebab janda ini memang mencari nahas.
“Sudahlah masuk kampung orang, berlagak pandai pula. Saya amat marah dengan jawapannya. Rasanya macam nak tampar sahaja muka dia. Tapi saya tahu jaga maruah.
“Saya tidak akan bertindak bodoh hanya kerana perempuan yang tidak tahu menjaga keperibadiannya sebagai wanita.
“Seperkara lagi, suami saya juga harus disalahkan. Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.
“Sejak pertemuan kami dengan janda itu, seluruh wanita di kampung kami memboikotnya.
“Saya pula berperang besar dengan suami kerana janda itu.
“Saya masih bersabar dengan drama ini, tapi kesabaran saya juga ada batasnya. Saya berharap masalah ini boleh selesai dengan baik.
“Satu hari kampung kami didatangi oleh seorang lelaki berumur yang datang untuk membeli tanah di kampung tersebut.
Dia singgah minum di gerai janda berkenaan. Nampak gaya macam orang kaya.
“Biasalah, apabila ada orang baru masuk kampung, si janda ini pun tunjuk gayanya. Melentik-lentik tak tentu hala memberi layanan terbaik untuk pelanggannya. Secara tidak langsung, dia tidak lagi layan suami-suami orang di kampung itu.
“Padan muka semua! Lelaki di kampung itu sudah tidak relevan kerana dia sudah ada ikan besar. Kehadiran lelaki itu menjadikan keadaan di kampung kami semakin reda dan tenang. Janda itu tidak lagi melayan suami-suami kami. Tetapi lelaki itu pula yang menjadi mangsanya.
“Saya merasa lega, suami juga sudah tidak keluar lagi seperti dahulu. Begitu juga khabar yang diterima dari kawan-kawan sekampung, semua suami mereka juga bertambah baik perangainya.
“Mungkin juga jodoh dia sudah sampai, janda itu akhirnya berkahwin dengan lelaki itu.
“Saya juga bersyukur kerana masalah janda itu selesai dengan baik. Semoga dia akan muhasabah diri untuk mencari keberkatan dalam hidupnya di dunia dan akhirat.
“Kami tidak salahkan dia, tidak juga salahkan suami kami, tetapi kami ambil iktibar dengan apa yang berlaku.
“Terima kasih Allah kerana menyedarkan kami. Semoga ujian yang Engkau berikan ini akan membawa kepada kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat,” demikian Sara menamatkan ceritanya.
Tersenyum saya membaca kisah Sara. Menarik untuk dijadikan teladan. Yang menariknya kisah ini berlaku di kampung bukan di bandar, tapi memang wanita kampung sekarang pun bijak dan pandai menjaga hak mereka.
Cadangan saya, setiap isteri perlu bercakap dari hati ke hati dengan suami mengenai masalah yang timbul, seperti mana yang Sara lakukan. Ajak suami berunding dan bincang baik-baik demi rumah tangga dan anak-anak.
Syabas dan tahniah kepada Sara kerana berjaya menubuhkan persatuan wanita di kampungnya bukan sahaja untuk aktif dalam pelbagai kegiatan amal dan kemasyarakatan tetapi juga membela nasib mereka sendiri di dalam bab rumah tangga.
Seperkara yang perlu isteri-isteri ingat, adalah layanan terhadap suami, kadang-kadang suami akan keluar rumah untuk mendapat apa yang kurang di rumah.
Semoga Allah lindungi rumah tangga Sara dan bahagiakan hidupnya di dunia dan akhirat. Amin.
Menamatkan catatan, pesanan saya, setiap masalah pasti ada jalan keluar. Jaga Allah, Allah akan jaga kita.
Tag :
perkahwinan
0 Komentar untuk "kisah rumahtangga-suamiku gila bayang dengan janda bergetah dek kerana bentuk badan yang menawan"