Adik Nur Zea Zahirah Telah Pergi Buat Selama-Lamanya

Johor Bahru: Nur Zea Zahirah, kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan yang menghidap penyakit hati Biliatry Atresia atau kegagalan hati berfungsi meninggal dunia jam 4.50 petang tadi.

Bapa kanak-kanak itu, Arfianto Darman, 37, mengesahkan anak bongsunya itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang sejak kelmarin.

Katanya, anaknya itu mengalami pendarahan pada bahagian hidung dan mulut sejak malam tadi dan keadaan itu berterusan sebelum meninggal dunia.

Sementara itu, keluarga kanak-kanak terbabit berterima kasih kepada pemberi sumbangan dan minta dihalalkan di dunia dan akhirat.

Jenazah akan dibawa pulang petang ini untuk disemadikan di tanah perkuburan Kampung Tengah Renggam, Kluang.

Harian Metro pada 3 Oktober tahun lalu menyiarkan mengenai pengorbanan Norafizah Buja dan Arfianto yang sanggup menyerahkan hati mereka selepas anak bongsu mereka menghidap penyakit hati.

Usaha mengumpulkan dana berjumlah RM160,000 dilakukan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai bagi membolehkan kanak-kanak itu menjalani pemindahan hati di China pada Mac lalu.

Bagaimanapun, pembedahan itu tidak dapat dilakukan berikutan tahap kesihatan bapa kanak-kanak itu tidak mengizinkan, selain dijangka dilakukan oleh doktor pakar di Hospital Selayang dan Nur Zea Zahirah dalam senarai menunggu.
Tag : semasa


0 Komentar untuk "Adik Nur Zea Zahirah Telah Pergi Buat Selama-Lamanya"

Back To Top