KUALA LUMPUR 16 Jun - Biarpun kepalanya masih berdenyut-denyut, Mohd. Rusydi Mohd Ruslan, 24, pasrah mengharungi kesejukan embun pagi di Kampung Bukit Jerai Air Panas, Pengkalan Hulu Perak untuk menoreh getah.
Menurutnya, sakit akibat daripada pembedahan membuang enam kilogram ketumbuhan di kepalanya pada 25 April lalu itu masih terasa, tetapi terpaksa ditahan demi tanggungjawab menyara keluarga.
Anak tunggal lelaki daripada tiga beradik itu menambah, upah daripada menoreh itu juga akan disimpan sedikit untuk membayar hutang pembedahan tempoh hari.
Katanya, setakat ini kira-kira 80 peratus daripada kos pembedahan berjumlah RM23,290 telah dibayar.
“Sebanyak RM15,000 dibayar keluarga hasil pinjaman saudara mara, manakala kira-kira RM6,000 dibayar menerusi sumbangan orang ramai selepas kisah saya disiarkan Utusan Malaysia minggu lalu.
“Kini ada lebih RM2,000 perlu dijelaskan kepada pihak hospital swasta tetapi saya bersyukur kerana pihak hospital turut memberi kelonggaran dengan membenarkan saya membayar secara ansuran,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.
Rusydi berkata, walaupun bayaran kepada hospital hampir berjaya diselesaikan, tetapi dia dan keluarga perlu memikirkan cara membayar hutang dengan saudara mara berjumlah RM15,000 itu.
“Ayah bercadang untuk menggunakan duit dalam simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang dijangka dapat dikeluarkan tidak lama lagi, namun saya tidak mahu bergantung 100 peratus dan perlu mencari wang untuk membayar hutang berkenaan,” katanya.
Mengenai ketumbuhan di kepala, Rusydi berkata, masalah itu mula dikesan pada 2012 dan sejak itu dia tidak dapat bekerja kerana perlu berulang-alik ke hospital bagi menjalani rawatan.
Pembedahan terpaksa dilakukan segera kerana keadaan ketumbuhan di atas kepalanya membesar dengan begitu cepat.
Ketumbuhan itu juga telah berakar ke otak dan semakin berbahaya jika tidak dilakukan pembedahan dengan segera.
“Akibat pembedahan itu kepala saya menerima sebanyak 60 jahitan, tetapi kesan jahitan pun sudah kering,” katanya.
Katanya lagi, bapanya, Mohd. Ruslan Ahmad, 55, hanya bekerja sebagai penoreh getah, manakala ibunya, Zulia Hussain, 50, tidak bekerja dan merupakan orang kurang upaya (OKU).
Bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh menyalurkannya melalui akaun MayBank 158079670970 (Zulia Hussain) atau hubungi mereka di talian 0104225770.
Rusydi turut berterima kasih kepada penderma yang menghulurkan sumbangan sebelum ini. - UTUSAN ONLINE
http://www.utusan.com.my
Tag :
semasa
0 Komentar untuk "sedih..walaupun baru lepas perbedahan lelaki ni terpaksa menorah getah untuk jelaskan bil hospital"