Polis Serbu Pasaraya Jual Daun Ketum

Gambar viral di media sosial ‘daun ketum’ yang dijual di sebuah pasaraya.

JEMPOL — Gara-gara kesilapan pekerja Bangladesh melabelkan daun ketumbar sebagai “daun ketum,” polis menyerbu sebuah pasar raya di sini selepas menerima aduan menjual bahan terlarang.

Serbuan polis cawangan narkotik mendapati daun hijau yang dibungkus plastik putih berlabelkan “Daun Ketum 0% GST” berharga RM2.65 itu adalah sayuran herba ketumbar.

“Hasil pemeriksaan daun itu hanyalah daun ketumbar dan bukan daun ketum seperti yang dicetak di plastik,” kata Ketua Polis Daerah Jempol Supt Noorzainy Mohd Noor dilapor Kosmo!

“Isu itu menjadi viral kerana kesilapan ejaan dan tiada barang larangan dijual di premis tersebut.

“Kami telah mengarahkan pasar raya berkenaan membetulkan semula ejaan tersebut kerana telah disalah anggap oleh orang ramai.”

Katanya, pihak pasar raya memberi jaminan akan lebih berhati-hati pada masa akan datang untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

Penjualan “daun ketum” di sebuah pasar raya di Bahau tersebar di media sosial sejak Ahad lalu sehingga mendapat kritikan pengguna.

Noorzainy berkata, tinjauan semula pihaknya ke pasar raya berkenaan mendapati daun itu tidak lagi diletakkan dalam plastik dan sudah dilabelkan semula sebagai “daun ketumbar.” 😛
Tag : semasa


0 Komentar untuk "Polis Serbu Pasaraya Jual Daun Ketum "

Back To Top