Kisah Mak cik Tidak Dikurniakan Anak Dan Bergaji RM150 Sebulan Membuatkan Kami Menitis Air Mata

HAMPIR menitis air mata kami tatkala membaca kisah seorang wanita warga emas yang meneruskan hidupnya dengan mengambil upah membungkus sup bunjut ini.

Ternyata insan yang bernama Siti Hazirah Hamzah, 63, merupakan individu yang tabah dan cekal.

Tidak dikurniakan cahaya mata, Siti Hazirah hanya tinggal bersama suaminya Abdullah Khamis, 70, yang kini sakit gout di sebuah rumah di Taman Tun Teja, Rawang, Selangor,

Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, Siti Hazirah mencari rezeki dengan mengambil upah membungkus sup bunjut dari sebuah kilang berhampiran dengan upah tiga sen setiap satu, sejak enam tahun lalu.

Dahulunya, si suami membawa bas mini kemudian teksi namun kini terpaksa duduk di rumah akibat penyakit yang dihidapi.

“Makcik dari Johor dan pakcik pula dari Perlis. Bila suami selalu sakit dan tak boleh bekerja, makcik ajak dia balik kampung tapi pakcik tak nak sebab masih mampu bertahan.

“Alhamdulillah, rumah ni rumah sendiri walaupun kecil tapi cukuplah buat kami suami isteri meneruskan hidup,” jelas Siti Hazirah.

Siti Hazirah bernasib baik apabila ada yang menerimanya kerja untuk membungkus sup bunjut namun gajinya paling banyak boleh dapat untuk sebulan pun hanyalah RM150.

“Walaupun tak lumayan cukuplah nak menampung makan minum makcik dan pakcik.

“Setiap hari mula pukul 12 tengah hari sampai 10 malam makcik akan bungkus sup bunjut dan berhenti sekejap untuk solat dan memasak. Sehari boleh siap 400 biji.

“Kalau tiga hari dapatlah RM12 tapi dibayar setiap hujung bulan. Dalam sebulan paling banyak pernah dapat RM150,” katanya.

Bagi meningkatkan pendapatan, suaminya mengambil atau menghantar orang yang memerlukan pengangkutan.

“Bila sihat pakcik akan keluar cari duit, pernah sehari tu kami ada RM5 saja dan kami gunakan untuk beli nasi bungkus, nak beli bahan untuk masak tak cukup.

“Ada hikmah juga kami tiada anak, kalau tak, tak tahu macam mana nak besarkan mereka. Kalau betul-betul susah baru minta bantuan saudara tapi tak boleh selalu nanti orang tak suka.

“Kalau dapat zakat bagus juga boleh ringankan belanja dapur. Duit rumah dah habis bayar, bil elektrik dan air kadang kala tak perlu bayar sebab tak banyak guna,” katanya.

Rumah pasangan warga emas ini tiada sofa mahupun televisyen melainkan sebuah radio usang yang digunakan untuk menghiburkan hati.

Semoga Siti Hazirah dikurniakan kesihatan yang baik dan dimurahkan rezeki.

Ingatlah, jika anda berasakan anda orang susah,  ada lagi individu yang hidup dalam kedaifan dan diuji pelbagai ujian oleh Allah SWT. – MYNEWSHUB.CC
Tag : kisah


0 Komentar untuk "Kisah Mak cik Tidak Dikurniakan Anak Dan Bergaji RM150 Sebulan Membuatkan Kami Menitis Air Mata"

Back To Top