Lisbon:Apabila doktor mengumumkan: “Laurenco dilahirkan dan dia menangis,” sorakan kedengaran dalam kalangan jururawat yang menghabiskan masa 107 hari sebelum ini untuk menjaga bayi itu dalam kandungan ibunya.
Ada yang menangis, termasuk doktor yang menggelar kanak-kanak itu bayi ajaib.
Namun, dalam kegembiraan, mereka juga bersedih kerana kelahiran Laurenco bermakna mereka terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada ibunya.
Sandra Pedro terbujur kaku sejak hampir empat bulan lalu kerana otaknya sudah tidak berfungsi dan dia hanya bergantung kepada ventilator sepanjang tempoh itu.
Sandra, 37, adalah ‘inkubator hidup’ yang disambung pada monitor di sebuah hospital di Lisbon, Portugal.
Dia diberi makan menerusi tiub dan dipaksa bernafas menerusi mesin. Dia juga diberikan hormon mencukupi sebelum ventilator itu dicabut daripadanya selepas melahirkan Laurenco.
Ketika doktor gigih menganalisis keperluan perubatan Sandra, jururawat menjaga emosi Laurenco dalam perut ibunya.
Mereka mengusap perut Sandra setiap hari, membisikkan nama Laurenco pada perut itu, malah turut menyanyikan untuk menghiburkannya,
Ada seorang dalam kalangan mereka membeli radio dan meletakkan pada perut Sandra.
“Kadang-kala kami memainkan musik klasik, kadang-kala pop, untuk memberi semangat kepada Laurenco,” kata seorang jururawat, Nuno Camilo, 37
Sandra datang ke hospital itu pada 20 Februari lalu, mengadu sakit kepala teramat sangat. Beberapa jam selepas itu, dia diisytiharkan mati.
Doktor menyangka kandungannya juga mati, sehinggalah mereka melakukan pemeriksaan.
“Kami sungguh terkejut apabila mendapati kandungannya masih hidup. Pihak hospital memutuskan untuk menyambung kehamilan Sandra dan membantunya dengan ventilator,” kata Dr Susana Alfonso.
Akhirnya, pada 7 Jun lalu, Laurenco dilahirkan, menerusi Caesarean, dalam keadaan sihat.
Mesin sokongan hayat pada Sandra dicabut sejurus selepas itu dan dia dikebumikan keesokannya.
Tag :
PELIK
0 Komentar untuk "kasih ibu...koma sewaktu sarat mengandungkan bayinya dan terpaksa bergantung alat pernafasan"